Kenyataan Media

PBB LAPOR LEBIH RAMAI PENDUDUK AWAM DIBUNUH TENTERA AS, AFGHANISTAN

 

KABUL, 24 April: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan lebih ramai penduduk awam Afghanistan mati dibunuh pasukan tentera Amerika Syarikat dan Afghanistan berbanding Taliban dan kumpulan militan lain.

Ia susulan langkah AS meningkatkan kempen serangan udara di negara itu sambil berusaha mengadakan perjanjian damai dengan Taliban, yang kini mengawal atau mempengaruhi lebih banyak bahagian negara itu berbanding masa lain sejak mereka disingkirkan pada 2001.

Pada tiga bulan pertama 2019, tentera antarabangsa dan tempatan bertanggungjawab di atas kematian 305 penduduk awam, manakala kumpulan militan membunuh 227, lapor Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) dalam laporan suku tahunnya.

UNAMA turut menyatakan kebanyakan kematian disebabkan serangan udara atau operasi memburu di darat, terutama dilakukan tentera Afghanistan yang dibantu AS, sebahagiannya ‘bertindak dengan kekebalan’.

“UNAMA menggesa tentera Afghanistan dan tentera antarabangsa supaya melakukan siasatan mengenai dakwaan kematian penduduk awam, menyiarkan keputusan siasatan dan memberikan pampasan sewajarnya kepada mangsa,” tegas laporan berkenaan.

UNAMA mula mengumpulkan data kematian penduduk awam pada 2009 di tengah keadaan keselamatan yang semakin buruk di negara itu.

Ia adalah kiraan pertama sejak rekod mula menunjukkan tentera kerajaan membunuh lebih ramai penduduk awam berbanding militan di Afghanistan.

 

Sumber: Berita Harian