WhatsApp Image 2023-06-06 at 2.42.48 PM
Info Semasa

PBB kutuk Israel bunuh kanak-kanak Palestin

ANKARA – Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Proses Keamanan Asia Barat pada Isnin mengutuk pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh tentera Israel.

Tor Wennesland mengutuk dan amat sedih dengan kematian seorang budak lelaki Palestin berusia 2 tahun, yang cedera parah akibat tembakan pasukan keselamatan Israel di Al-Nabi Saleh, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata “orang awam, khususnya kanak-kanak terus menanggung beban konflik ini” dan menggesa pihak berkuasa Israel supaya mengambil tindakan ke atas “mereka yang bertanggungjawab”.

Awal hari ini, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan kematian Mohammad Tamimi, 2, yang cedera parah pada Khamis apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di bandar Nabi Saleh dekat Ramallah. Bapanya juga cedera dalam serangan itu.

Tentera Israel berkata, siasatan awal menunjukkan dua lelaki Palestin yang bersenjata didakwa melepaskan tembakan ke arah penempatan berhampiran menyebabkan tentera Israel bertindak balas.

Tentera mengaku tersalah tembak kanak-kanak itu dan kesal telah “memudaratkan mereka yang bukan pejuang dan berusaha untuk mencegah kejadian seperti itu.”

Bapa kanak-kanak itu bagaimanapun menafikan naratif Israel dan mendakwa tidak belaku berbalas tembak di kawasan itu, sebaliknya menuduh tentera Israel terus melepaskan tembakan ke arah keretanya.

Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan berulang Israel ke bandar-bandar Palestin.

Menurut angka Palestin, lebih 155 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya 21 warga Israel turut terbunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh yang sama.