2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PALESTIN KECAM PENCEROBOHAN TERBARU ISRAEL DI TEBING BARAT

RAMALLAH : Palestin mengecam tindakan Israel meluluskan pembinaan 372 unit penempatan Yahudi di bandar Hebron di selatan Tebing Barat.

Kementerian Luar Palestin, dalam kenyataan berkata tindakan itu lanjutan daripada proses mendiami dan meluaskan penempatan haram mereka di tengah bandar lama Hebron.

Katanya, tindakan provokatif itu dibuat hanya beberapa hari selepas Israel meluluskan pembinaan 11,000 unit kediaman di tanah tidak digunakan di Lapangan Terbang Qalandia di Baitulmaqdis Timur, juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Baitulmaqdis.

Kementerian itu juga mengecam lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog, ke penempatan berkenaan untuk meraikan Hanukkah atau pesta cahaya Yahudi, di mana beliau akan menyalakan lilin perayaan di Masjid Ibrahim.

“Kami memberi amaran sekali lagi terhadap percubaan Israel untuk mengalihkan perhatian antarabangsa daripada perjuangan Palestin.

“Penyelesaian dua negara ini tertakluk kepada proses sabotaj yang paling keji kerana dasar Israel mengenai penguasaan tanah Palestin dengan rampasan disegerakan di Tebing Barat,” katanya.

Pada Khamis lalu, media Israel melaporkan majlis Kiryat Arba di bandar Hebron meluluskan pembinaan 372 unit perumahan baharu di kawasan penempatan awam, termasuk bangunan, institusi pendidikan, bangunan komersial serta taman awam.

Lebih 600,000 penduduk Yahudi tinggal di kira-kira 140 penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur, menurut angka rasmi Palestin.

Israel menawan wilayah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur itu sejak 1967, yang turut dituntut Palestin, dalam perang Timur Tengah 1967.

Penempatan haram Yahudi dianggap melanggar undang-undang antarabangsa oleh kebanyakan masyarakat global.

Sumber: Berita Harian