ORANG RIMBA MAHU GURU MASUK MENGAJAR DALAM HUTAN
JAKARTA: Orang Rimba, suku tempatan di wilayah Jambi yang turut dikenali sebagai Suku Anak Dalam, meminta Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan menghantar guru bagi pendidikan anak-anak mereka di dalam hutan.
CNN Indonesia melaporkan, Ketua Adat Orang Rimba, Tungganai Basemen berkata, suku itu amat memerlukan guru yang datang ke lokasi pemukiman mereka.
“Jika sekolah berada di luar hutan, sukar bagi anak kami. Untuk itu kami meminta sekolah di hutan, tempat kami tinggal,” katanya.
Tungganai berkata, Orang Rimba ‘berpindah-randah’ untuk mencari nafkah di dalam hutan.
Jelasnya, keadaan itu menyukarkan anak-anak yang ingin bersekolah seterusnya membantutkan masa depan mereka.
Permintaan Tungganai adalah salah satu aspirasi Orang Rimba mengenai pendidikan.
Setakat ini pendidikan anak-anak dilakukan dalam dua bentuk, iaitu pendidikan tidak formal oleh kelompok pelawat dan pendidikan formal.
Proses dan bahan pembelajaran disesuaikan dengan persekitaran.
Contohnya, pelajaran mengira dilakukan dengan mengira pokok, menulis dan membaca juga didekatkan dengan perkara-perkara yang mudah difahami oleh mereka.
Bagi mereka yang sudah mahir dan mendapat sokongan ibu bapa, anak-anak hutan mula dimasukkan ke sekolah formal.
Salah seorang penduduk, Tumenggung Ngrip berkata, sudah ada tiga anak Orang Rimba yang sedang belajar di Bandar Jambi, dan ada yang sedang mengikuti pendidikan sekolah dasar (SD).
Sumber: Utusan