OIC sambut baik PBB lulus resolusi mengenai pendudukan Israel
ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyambut baik langkah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang meminta pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pendudukan Israel di Palestin.
Dalam satu kenyataan, OIC memuji pendirian negara-negara yang menyokong resolusi itu yang menyaksikan komitmen tegas mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan selaras dengan pendirian ke arah menyokong perjuangan Palestin.
Menurut satu laporan dari agensi Anadolu dan Berita Harian, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi meminta pendapat ICJ mengenai akibat undang-undang pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.
Resolusi itu disokong 87 negara anggota, 26 membantah dan 53 berkecuali.
Di bawah resolusi itu, ICJ diminta untuk menentukan ‘akibat undang-undang yang timbul daripada pencabulan berterusan Israel terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri’ dan ‘tindakan rejim itu yang mahu mengubah komposisi demografi serta status’ kota Baitulmaqdis.
Resolusi berkenaan turut meminta Setiausaha Agung PBB membentangkan laporan mengenai pelaksanaannya dalam sesi Perhimpunan Agung PBB yang akan datang pada September 2023.
Tambahan laporan tersebut, kira-kira 666,000 pendatang tinggal di 145 penempatan dan 140 pos (tidak dilesenkan oleh kerajaan Israel) di Tebing Barat yang diduduki termasuk di Baitulmaqdis Timur, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peace Now Israel.
Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.