WhatsApp Image 2023-11-21 at 10.27.42 AM
Info Semasa

Menteri negara Arab, Islam gesa perang di Gaza dihentikan

Menteri-menteri negara Arab dan Islam hari ini menggesa peperangan dihentikan dan gencatan senjata diisytiharkan di Gaza, sekali gus membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Palestin.

Gesaan itu dibuat ketika delegasi itu melawat Beijing dan sebelum pertemuan dengan pegawai mewakili lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC).

Memetik laporan Berita Harian, delegasi itu turut memberi tekanan kepada Barat untuk menolak justifikasi Israel terhadap tindakannya ke atas rakyat Palestin sebagai ‘mempertahankan diri’.

Menteri yang mengadakan pertemuan dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi, hari ini adalah dari Arab Saudi, Jordan, Mesir, Indonesia, Palestin dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud menyatakan bahawa mereka di sana adalah untuk menghantar isyarat jelas bahawa pertempuran dan pembunuhan perlu segera dihentikan manakala bekalan kemanusiaan perlu dihantar ke Gaza.

Sidang kemuncak gabungan Islam-Arab yang di Riyadh bulan ini juga menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan Israel di wilayah Palestin.

Arab Saudi berusaha untuk menekan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menamatkan permusuhan di Gaza, dengan pemerintah de facto kerajaan, Putera Mahkota Mohammed Salman, mengumpulkan pemimpin Arab serta dunia Islam untuk mengukuhkan mesej itu.

Duta Israel ke Beijing, Irit Ben-Abba berkata, beliau berharap tidak akan ada kenyataan daripada lawatan itu mengenai gencatan senjata kerana ‘sekarang bukan masanya’.

Israel berharap delegasi itu akan menyentuh mengenai tebusan yang diculik oleh Hamas dan menggesa supaya mereka ‘dibebaskan segera tanpa prasyarat’.

Tambahnya, delegasi yang terbabit harus berbincang mengenai ‘peranan Mesir dalam memudahkan bantuan kemanusiaan’.

Sementara itu, Wang Yi berkata, Beijing adalah ‘kawan baik dan saudara negara Arab serta Islam’, sambil menambah ia ‘sentiasa menyokong perjuangan adil rakyat Palestin untuk memulihkan hak dan kepentingan nasional mereka yang sah’.

Katanya, China akan berusaha untuk ‘menghentikan pertempuran di Gaza secepat mungkin, mengurangkan krisis kemanusiaan dan mempromosikan penyelesaian awal, komprehensif yang adil lagi berkekalan bagi isu Palestin’.

Sejak bermulanya peperangan, Kementerian Luar China menyeru supaya Israel dan Palestin meneruskan ‘penyelesaian dua negara’ bagi kemerdekaan Palestin.

Duta khas China di Asia Barat, Zhai Jun, menghubungi pegawai Israel dan Pihak Berkuasa Palestin serta Liga Arab dan Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu untuk membincangkan penyelesaian dan pengiktirafan dua negara bagi Palestin di PBB.