MAHKAMAH ISRAEL TANGGUH BICARA KES PENGUSIRAN
BAITULMAQDIS: Mahkamah Israel menangguhkan pendengaran kes pengusiran dua keluarga Palestin dari kediaman mereka di daerah Silwan dekat sini bagi menempatkan pendatang haram Yahudi.
Penangguhan pendengaran kes terbabit dibuat kurang tiga minggu selepas kes seumpamanya di bandar Sheikh Jarrah, yang menyaksikan pertempuran 11 hari dalam konflik terbaru Palestin-Israel.
Menurut peguam keluarga terbabit, Yazeed Qawaar, penangguhan dibuat selepas keluarga Palestin itu membuat petisyen kepada Peguam Negara untuk mempertimbangkan masalah berkenaan.
“Kes awam sebegini perlu mengambil kira pendapat Peguam Negara.
“Amat jelas bahawa kerajaan menyokong projek penempatan haram dan oleh itu, Peguam Negara harus bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, keluarga berkenaan kini menunggu keputusan sama ada Mahkamah Baitulmaqdis akan merujuk kes terbabit kepada pendakwa raya yang lebih kanan atau sebaliknya pada minggu depan.
Menurut kumpulan anti-penjajahan Israel, Peace Now, kira-kira 700 penduduk Palestin di Batn al-Hawa dekat Silwan berdepan risiko diusir dari kediaman mereka.
Ketua Jawatankuasa Penduduk Batn al-Hawa, Zuheir Rajabi, berkata kes yang berlangsung di mahkamah itu turut membabitkan puluhan saudaranya.
“Semua keluarga yang terbabit diarah mengosongkan penempatan mereka pada November tahun lalu dan keputusan pengosongan itu disahkan pada Mac lalu,” katanya.
Ketika ini, terdapat ratusan pendatang haram Yahudi tinggal di Silwan bersama kira-kira 50,000 penduduk Palestin.
Sumber: Berita Harian