LELAKI SYRIA MATI DITEMBAK
BEIRUT: Seorang rakyat Syria terbunuh manakala empat yang lain cedera selepas ditembak oleh anggota keselamatan Kurdish semasa aksi tunjuk perasaan prorejim di bandar timur laut, kelmarin.
Agensi berita prorejim, SANA berkata, tembakan itu dilepaskan terhadap penunjuk perasaan yang mengepung kawasan kejiranan di Bandar Hassakeh yang dikawal ketat oleh pasukan rejim sekarang.
Sebuah video menunjukkan puluhan lelaki berhimpun di jalanan ketika cuaca hujan sambil melaungkan sokongan terhadap rejim pemimpin Syria, Bashar al-Assad.
“Dengan jiwa kami, darah kami, kami berkorban untukmu Bashar,” laung mereka.
Agensi berita Kurdish, Hawar, berkata, anggota keselamatan berada di pusat pemeriksaan di bandar itu diserang, yang mendorong anggotanya bertindak balas terhadap serangan itu.
Pertempuran itu menyebabkan kematian anggota keselamatan rejim.
Penduduk Kurdish merupakan etnik minoriti terbesar di Syria, yang menjadikan kawasan separa autonomi di utara Syria sejak bermulanya perang saudara pada 2011.
Di kawasan itu, mereka menjalankan urusan mereka sendiri dan mengendalikan sebahagian besar sumber minyak negara itu.
Sumber: Utusan Malaysia