2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-10-10 at 10.09.02 AM
Info Semasa

Kuasa besar wajib hentikan pertempuran di Palestin – Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin, berkata langkah itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di negara berkenaan, lapor Berita Harian.

“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak.

Zahari berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan kerajaan yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera supaya semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka turut meminta negara Islam terutama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah dihadapi Palestin.

“Penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya.

Zahari berkata, Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan mahu seluruh rakyat terus memperjuangkan prinsip keadilan, hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera.

Katanya, Seri Paduka mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut meminta masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.