Info SemasaKenyataan Media

KESENGSARAAN PENDUDUK SYRIA

Harbanoush, Syria: Peperangan Syria meragut nyawa 13 anak Abderrazaq Khatoun namun dia bangkit segera bagi membesarkan 11 cucunya yang menjadi anak yatim.

Khatoun yang digelar ‘bapa syahid’ berbangga dengan panggilan berkenaan dan akan melakukan apa saja untuk cucu-cucunya menikmati masa depan lebih baik.

Khatoun dan 30 lagi ahli keluarganya yang terselamat dari peperangan berkenaan menetap di khemah yang dikelilingi pohon zaitun di Harbanoush.

Sebelum peperangan, Khatoun adalah seorang petani dan memiliki 27 anak daripada tiga isteri. Sebahagian anak-anaknya sudah menginjak dewasa.

Namun, konflik Syria yang masuk tahun ke-11 bulan ini, meragut nyawa sebahagian besar keluarganya.

“Sejak revolusi bermula, tujuh anak saya syahid. Mereka menyertai pasukan penentang kerajaan dan meninggal dunia dalam perjuangan itu,” katanya.

Tidak lama kemudian, serangan udara yang memusnahkan stesen petrol di Saraqeb, bandar di mana keluarganya berlindung, turut mengorbankan sebahagian lagi keluarganya.

“Saya hilang tujuh lagi ahli keluarga iaitu isteri dan anak-anak yang ketika itu masih kecil,” katanya.

Sementara itu, di Damsyik, Samer Sawwan, 33, memegang gambarnya berdiri di tepi pantai di Latakia. Ia adalah kenangan sebelum dia ditembak ketika memandu pada 2011 yang menyebabkannya hilang kawalan dan kemalangan.

“Saya tidak sedarkan diri selepas kejadian itu namun, sedar semula tanpa kaki dan perlu menggunakan kerusi roda,” katanya.

Di Idlib, Mohammed al-Hamid, 28, berdiri menggunakan tongkat, memegang gambarnya segak mengenakan seragam tentera.

Dia cedera dalam peperangan pada 2016 di mana abangnya meninggal dunia dalam dakapannya. Tahun yang sama juga menyaksikan tiga lagi adik-beradiknya meninggal dunia di penjara.

Bagi Abu Anas, 26, tembakan yang dilepaskan dalam peperangan menyebabkannya buta.

Konflik Syria menyebabkan lebih 387,000 individu terkorban dan menyebabkan jutaan lain hilang tempat tinggal.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk Syria menderita hilang upaya akibat peperangan.

Sumber: Harian Metro