‘JIKA MOTORSIKAL SAYA ROSAK, ANAK-ANAK TAK DAPAT KE SEKOLAH’ – KATA ENCIK ERWAN HADI
SEMABOK, Melaka, 20 Feb. 2020 – Beberapa orang wakil Serantau Muslim (SM) telah berjaya menyantuni tiga buah keluarga yang dikategorikan sebagai asnaf menerusi satu program yang dinamakan Kembara Prihatin (KP). Salah seorangnya ialah Encik Erwan Hadi bin Muhd Kamal yang mesra dipanggil Encik Erwan.
Encik Erwan, 40 tahun yang mempunyai lima orang anak dan masing-masingnya masih bersekolah dilihat begitu memerlukan bantuan dari segi kewangan bagi menampung keperluan harian walaupun beliau bersyukur dengan apa yang dimilikinya.
Menurut Encik Erwan, keluarganya juga diuji dengan salah seorang anaknya yang berusia 7 tahun mempunyai masalah jantung dan hanya mempunyai motorsikal untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah secara ulang alik.
Wakil SM, merasakan Encik Erwan seorang yang kuat walaupun hanya berpendapatan RM1,000 namun masih bersyukur dengan apa yang diberikan kepadanya dan keluarga. Encik Erwan juga terpaksa menyewa rumah dengan harga RM200 sebulan demi memberi perlindungan ahli keluarganya dari panas dan hujan. Justeru, bagi mereka yang ingin membantu asnaf yang lain menerusi program sebegini, boleh layari laman sesawang rasmi SM di pautan berikut:
www.serantaumuslim.org.my/kembara-prihatin/.