2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

NETANYAHU UMUM PENEMPATAN BAHARU DI TIMUR BAITULMAQDIS

BAITULMAQDIS, 21 Feb – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan pelan untuk membina ribuan rumah baharu bagi penduduk Yahudi di timur Baitulmaqdis, dua minggu sebelum pilihan raya.

Katanya, tambahan 2,200 unit rumah akan dibina di penempatan Har Homa, yang mula dibina pada 1997 ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini, juga di bawah Netanyahu.

Tambah beliau, kelulusan pembinaan awal itu tetap diberi walaupun mendapat bantahan dari seluruh dunia dan penduduk Har Homa dijangka bertambah antara 40,000 hingga 50,000 apabila unit baharu siap nanti.

Netanyahu juga mengumumkan kelulusan membina penempatan baharu membabitkan beberapa ribu rumah di Givat Hamatos, berhampiran kejiranan Palestin Beit Safafa di timur Baitulmaqdis.

“Penempatan baharu ini merangkumi 3,000 rumah bagi penduduk Yahudi dan 1,000 untuk penduduk Arab di Beit Safafa,” katanya.

Badan pemerhati Peace Now menyifatkan projek Givat Hamatos sebagai tamparan hebat kepada ‘rumusan dua negara’ kerana projek itu akan menjejaskan kesinambungan persempadanan antara Bethlehem dan timur Baitulmaqdis.

Penempatan Yahudi di timur Baitulmaqdis dan wilayah Tebing Barat yang diceroboh dianggap salah di sisi undang-undang oleh kebanyakan kerajaan asing termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Peace Now juga mendakwa Netanyahu sedang cuba meraih populariti bagi memenangi pemilihan pada 2 Mac ini.

Tinjauan umum mendapati akan berlaku persaingan sengit antara parti Likud pimpinan Netanyahu dan parti Blue and White, namun kedua-duanya dijangka tidak mampu meraih majoriti mencukupi bagi mencapai kemenangan.

Sumber: Berita Harian