Jenama streetwear terkenal cetak kalimah ALLAH atas pakaian
MELBOURNE – Jenama pakaian streetwear mewah Australia bertindak biadab apabila mencetak kalimah ALLAH di atas baju yang diperagakan di pentas fesyen Sabtu lalu.
Jenama Not A Man’s Dream, mempamerkan dua reka bentuk pakaian dalam pertunjukan terakhir Festival Fesyen Melbourne di mana salah satu rekaan menampilkan seorang model memakai jumpsuit tanpa lengan diperbuat daripada fabrik lut sinar dengan tulisan Arab bertulis ‘ALLAH berjalan bersama saya’ di seluruh badannya, lapor Sinar Harian.
Tambah laporan tersebut, Mona Khalifa, blogger fesyen Muslim yang menghadiri pertunjukan itu amat terganggu apabila melihat rekaan tersebut.
Berikutan itu, Mona Khalifa telah memuat naik satu video di TikTok meluahkan rasa amarah dan kesalnya dengan rekaan fesyen berkenaan.
Tegasnya, rekaan itu secara terang-terangan tidak menghormati orang Islam dan Kristian Arab yang berkongsi perkataan Arab untuk Tuhan.
Susulan kontroversi itu, Festival Fesyen Melbourne dan pereka fesyen Not A Man’s Dream telah mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka.
“Festival ini tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa dan kami memohon maaf atas sebarang kesalahan yang dilakukan,”menurut kenyataan tersebut.