2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-03-17 at 11.39.07 AM
Info Semasa

Hentikan kebencian anti-Islam – Guterres

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam menggesa semua pihak menghentikan kebencian anti-Islam sempena Hari Memerangi Islamofobia Antarabangsa.

Beliau, dalam utusan rasminya, berkata kira-kira dua bilion umat Islam di serata dunia mencerminkan kepelbagaian manusia yang indah, namun kerap berdepan sentimen perkauman dan penindasan kerana pegangan agama mereka, lapor Berita Harian.

Guterres menekankan, umat Islam kerap menderita kerana serangan peribadi, retorik berunsur kebencian dan dijadikan kambing hitam, tambah laporan tersebut.

Sentimen anti-Islam yang semakin berkembang adalah sebahagian daripada kebangkitan semula ketaksuban kebangsaan berasaskan etnik dan ideologi pelampau kulit putih neo-Nazi.

Pada masa sama, berlaku keganasan menyasarkan mereka yang terdedah dalam kalangan penduduk umum termasuk umat Islam, Yahudi, minoriti Kristian tertentu dan masyarakat lain.

“Diskriminasi membuatkan kita hina dan adalah penting bagi kita semua berdiri teguh menentangnya.

“Kita mesti menggesa penetapan dasar yang menghormati sepenuhnya hak asasi manusia, melindungi identiti agama dan kebudayaan.

“Perlu ada ‘pelaburan’ dari segi politik, budaya, dan ekonomi bagi memupuk perpaduan dan mengiktiraf kepelbagaian bagi menghadapi ketaksuban,” katanya.

Tambah ketua PBB itu, setiap agama dan tradisi agung menuntut sikap bertolak ansur, saling menghormati dan mengukuhkan persefahaman serta menggesa orang ramai menentang perpecahan dengan mengukuhkan keyakinan terhadap kemanusiaan.