ISRAEL SEDIA BANGUNKAN SISTEM PERTAHANAN NEGARA TELUK
BAITULMAQDIS: Israel sedia jalin kerjasama membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu dengan negara di teluk Arab yang bimbangkan ancaman ketenteraan Iran.
Pegawai kanan Israel, Moshe Patel, yang mengetuai Pertubuhan Pertahanan Peluru Berpandu Israel di bawah naungan Kementerian Pertahanan, semalam berkata usaha sama itu tidak mustahil sekiranya mendapat persetujuan Amerika Syarikat (AS).
“Ini boleh berlaku dengan persetujuan Washington sekiranya sistem pertahanan dibangunkan dengan teknologi atau dana dari AS.
“Dari aspek kejuruteraan, tentunya ada banyak kelebihan dan maklumat dapat dikongsikan, seperti pengesan yang dapat diselaraskan penggunaannya di kedua-dua negara kerana kita memiliki musuh yang sama.
“Segalanya boleh dilakukan, mungkin pada masa depan,” katanya ketika taklimat kepada wartawan apabila ditanya mengenai kemungkinan itu berikutan Israel sudah menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa negara Arab di bawah inisiatif AS.
Taklimat itu diadakan untuk mengumumkan apa yang disifatkan Patel sebagai ujian sistem pertahanan peluru berpandu Israel yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
Pertahanan terbaru itu dapat menyerang sasaran walaupun ia terbang pada ketinggian berbeza seperti peluru berpandu atau peluru berpandu balistik.
Kebimbangan terhadap ancaman Iran membuka jalan kepada beberapa perjanjian hubungan diplomatik yang disokong AS pada 15 September lalu, dalam usaha membawa lebih banyak negara Arab dan Islam menyertai Perjanjian Abraham.
Setakat ini, ia menyaksikan Israel menjalin hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi manakala Arab Saudi menyatakan sokongan terhada usaha itu.
Berkat sokongan AS, Israel sejak dekad lalu sudah mengembangkan pertahanan udaranya merangkumi pemintas peluru berpandu balistik Arrow, pemintas David Sling ketinggian pertengahan dan Iron Dome, yang mampu menembak jatuh roket jarak jauh dan peluru mortar.
Sumber: Berita Harian