2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL ROBOH RUMAH PENDUDUK PALESTIN

RAMALLAH: Israel merobohkan rumah milik dua warga Palestin yang didakwa terbabit dalam serangan bom yang mengorbankan seorang remaja Israel tahun lalu.

Letupan bom pada 23 Ogos tahun lalu berhampiran penempatan Yahudi, Dolev, mengakibatkan Rina Shnerb, 17, terbunuh manakala bapa dan adiknya cedera.

Empat lelaki disyaki anggota Popular Front yang berjuang untuk Pembebasan Palestin ditahan dan dituduh meletakkan bom di tepi jalan.

Berdasarkan kenyataan tentera Israel, pihaknya merobohkan rumah milik Walid Hanatsheh di Ramallah dan Yazan Mughamis berhampiran bandar Birzeit.

Penduduk Palestin yang memprotes tindakan itu dikatakan membakar tayar selain membaling batu dan bom petrol ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan ‘operasi menyuraikan tunjuk perasaan’.

Keluarga seorang lagi suspek yang ditahan, Kasim Shibli, dimaklumkan rumah mereka di Kobar, dekat Ramallah, juga akan diroboh selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Israel, yang akan mendengar rayuan kes itu pada 16 Mac ini.

Tentera Israel berkata mahkamah sudah menolak rayuan bagi pihak Hanatsheh dan Mughamis sebelum ini manakala suspek keempat, Samer al-Arbeed, hanya mempunyai rumah sewa, bermakna ia tidak boleh diroboh.

Agensi keselamatan Israel, Shin Bet, mengenal pasti Arbeed sebagai dalang utama dan mendakwa kumpulan terbabit sudah lama merancang serangan bersenjata serta penculikan.

Kumpulan sokongan banduan Palestin, Addameer, berkata Arbeed, 44, diseksa ketika disoal siasat pihak berkuasa Israel dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. 

Sumber: Berita Harian