Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL LULUS RANCANGAN PERPINDAHAN 2,000 YAHUDI ETHIOPIA

BAITULMAQDIS – Kerajaan Israel telah meluluskan rancangan imigresen bagi 2,000 rakyat Ethiopia yang berhasrat untuk berpindah ke negara Yahudi itu.

Tindakan yang menimbulkan kontroversi dikhuatiri akan menjejaskan rundingan damai Israel-Palestin, yang mungkin berdepan penangguhan berterusan.

Kumpulan migran terbabit adalah daripada suku Falash Mura, keturunan Yahudi Ethiopia yang memeluk agama Kristian, kebanyakannya di bawah tekanan pada abad ke-18 dan ke-19.

Mereka tidak diiktiraf sebagai Yahudi di bawah pihak berkuasa pemimpin agama Israel Ortodoks, namun menuntut hak untuk berhijrah di bawah peraturan penyatuan keluarga.

Kerajaan meluluskan tuntutan kira-kira 9,000 orang pada 2015, namun kemudian membatalkan keputusan itu pada tahun berikutnya, dengan alasan kekangan belanjawan.

Beberapa kumpulan di Israel, termasuk anggota masyarakat Ethiopia, menentang perpindahan Falash Mura, dengan alasan ragu-ragu terhadap tuntutan mereka sebagai orang Yahudi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberitahu Kabinetnya semalam bahawa sudah sampai masanya untuk membawa ‘2,000 rakyat kita, saudara lelaki dan wanita kita dari Ethiopia’.

“Kami juga akan mengambil tindakan untuk membawa semua yang lain,” katanya.

Menteri Integrasi, Pnina Tamano-Shata, wanita Yahudi Ethiopia pertama yang dipilih ke Parlimen Israel, memuji ‘undi sebulat suara kerajaan untuk membawa 2,000 orang ke Israel, yang menunggu di Ethiopia untuk disatukan dengan keluarga mereka’.

Sebahagian besar masyarakat Yahudi Ethiopia dibawa ke negara itu antara 1984 dan 1991 di bawah Undang-Undang Pengembalian, yang menjamin kewarganegaraan Israel kepada semua orang Yahudi.

Sejak itu, masyarakat Ethiopia-Israel berkembang menjadi 140,000 orang, termasuk 50,000 orang yang dilahirkan di Israel.

Ramai yang mengatakan mereka berdepan diskriminasi kaum, terutama penganiayaan oleh polis Israel. 

Sumber: Berita Harian