Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL BUNUH REMAJA PALESTIN DI TEBING BARAT

RAMALLAH – Tentera Israel membunuh seorang remaja Palestin di Tebing Barat Rabu lalu ketika protes terhadap rampasan tanah secara haram oleh regim Zionis itu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata pembunuhan itu berlaku dalam kawasan yang diceroboh secara haram bagi membuka penempatan baharu oleh Israel di Itamar, Tebing Barat.

Seorang jurukamera Reuters yang berada di lokasi kejadian berkata penunjuk perasaan membaling batu ke arah tentera Israel yang membalas dengan tembakan dan gas pemedih mata.

Difahamkan, mereka cuba mengusir penunjuk perasaan dari penempatan Israel yang terletak di atas bukit itu.

Tentera Israel berkata kira-kira 500 penduduk Palestin membakar tayar dan membaling batu ke arah mereka ketika tunjuk perasaan yang disifatkan ‘ganas’.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata remaja berusia 15 tahun yang maut itu terkena peluru hidup manakala 18 lagi penunjuk perasaan cedera terkena peluru berlapik getah yang digunakan tentera Israel. 

Sumber: Berita Harian