EMPAT SEKELUARGA ISLAM MAUT DISERANG KETIKA LINTAS JALAN
Toronto: Sungguh tragik empat sekeluarga terbunuh selepas dilanggar penyerang Islamofobia di Ontario, Kanada, petang Ahad lalu.
Menurut laporan media tempatan, semua mangsa dilanggar ketika mereka mahu melintas jalan di bandar London, kira-kira 200 kilometer dari barat daya Toronto.
Polis mengesahkan, seorang pemandu dengan sengaja melanggar keluarga berkenaan kerana mereka beragama Islam.
Katanya, insiden itu menyebabkan empat terbunuh termasuk dua wanita berusia 44 dan 77 tahun, lelaki berusia 46 tahun serta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Selain itu, ia turut menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun parah dan masih dirawat di hospital.
“Ada bukti menunjukkan kejadian ini sudah dirancang kerana dorongan kebencian.
“Mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana mereka beragama Islam,” kata Superintendent Jabatan Polis London, Paul Waight dalam sidang media dilaporkan CityNews.
Semalam polis mengesahkan penahanan suspek dikenali sebagai Nathaniel Veltman, 20, itu.
Lelaki itu berdepan tuduhan empat pembunuhan tahap pertama dan satu cubaan membunuh, lapor Global News.
Perdana Menteri, Justin Trudeau menzahirkan kekesalannya dengan tindakan yang digambarkan sebagai tindakan kebencian.
Sumber: Harian Metro