2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-27 at 2.53.21 PM
Info Semasa

Cuba sekat pengaruh Islam, China mahu hasilkan al-Quran versi Konfusianisme

BEIJING: Kerajaan China dilaporkan mahu menghasilkan kitab suci al-Quran dalam versi ‘Cina’ dengan menggabungkan nilai-nilai konfusianisme.

Menurut laporan Utusan, pegawai kerajaan dan ahli akademik yang merupakan ahli Institut Pusat Sosialisme China yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Kerja Barisan Bersatu Parti Komunis didakwa ingin menghasilkan terjemahan baharu al-Quran menggunakan nilai Konfusianisme.

Cadangan itu diusulkan ketika kesemua pihak berkaitan berkumpul di Urumqi, Xinjiang pada penghujung Julai lalu.

Cadangan yang dirancang sejak 2018 itu sememangnya menyasarkan Xinjiang yang kebanyakan penduduknya merupakan etnik Uighur yang beragama Islam.

Sejumlah pemerhati percaya bahawa Parti Komunis mahu mengukuhkan pengaruh dan nilai Cina terhadap Islam di negara itu, selain enggan pengaruh asing menguasai China.

Pensyarah Pengajian Cina di Universiti Manchester, David Stroup berkata kepada agensi berita Jerman, Deutsche Welle (DW), kerajaan Beijing ingin mengetatkan kawalan terhadap kumpulan Islam dan mengambil langkah untuk menghapuskan ciri-ciri yang disifatkan terlalu asing dari tempat awam.

“Perkara itu boleh disifatkan sebagai usaha berterusan dengan membuang papan tanda awam dalam bahasa Arab atau melakukan perubahan kepada masjid yang mempunyai ciri-ciri Arab.

“Pada masa yang sama, kerajaan China boleh cuba mengetatkan kawalan langsung terhadap amalan akidah, terutamanya khutbah mingguan melibatkan para ulama,” katanya.

Turut senada adalah pakar sejarah di Universiti Negeri Frostburg, Haiyun Ma yang menyifatkan perkara tersebut sebagai xenofobia atau perasaan terlalu takut terhadap sesuatu.

Katanya, China akan berusaha sebaik mungkin untuk mengubah budaya bukan Cina agar bersesuaian dengan budaya negara itu.

“Dengan menekankan idea menghapuskan pengaruh asing, Parti Komunis mahu mencipta versi Islam Cina yang dipengaruhi ateisme,” ujarnya.

Apapun, didoakan agar ia tidak berhasil kerana Al-Quran adalah sebaik-baik kalam daripada Allah SWT buat seluruh umat manusia.