BERSEMPENA HARI PELARIAN SEDUNIA, PELARIAN ROHINGYA IDAM PULANG KE KAMPUNG HALAMAN
COX’S BAZAR, 21 JUN – Pelarian Islam Rohingya yang hidup di kem sekitar Bangladesh berhasrat untuk kembali ke kampung halaman di Myanmar, namun keadaan di Myanmar masih tidak selamat untuk didiami oleh mereka.
Pihak berkuasa Dhaka tidak memberi jaminan terhadap keselamatan pelarian tersebut untuk pulang ke kampung halaman. Myanmar masih menganggap Muslim Rohingya sebagai pendatang haram dari benua kecil India itu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih 700,000 etnik Muslim Rohingya menyeberang ke dalam Bangladesh pada 2017 susulan tindakan keras tentera Myanmar.
Dalam pada itu, bersempena Hari Pelarian dunia semalam, ribuan pelarian Rohingya berhimpun di kem Kutupalong, berhampiran bandar tenggara Bangladesh untuk sambutan itu.
Rata-rata sepanduk yang dipegang pelarian itu memaparkan tulisan ‘Tiada lagi kehidupan pelarian, kami mahu pulang ke tanah air,’ ‘Kami mahu hidup dengan bebas, aman dan bermaruah’.
Tahun lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju memulakan proses menghantar pulang pelarian namun rancangan itu ditentang majoriti pelarian kerana mereka meminta kerajaan Myanmar bersetuju dengan beberapa syarat terlebih dulu.
Sumber: Berita Harian