BANTUAN KECEMASAN KEMARAU DI KENYA BERJAYA DIAGIH
2 Dis 2021: Sebelum ini, Serantau Muslim bimbang dengan kenyataan Program Makanan Sedunia (WFP) yang mana mereka mengeluarkan amaran bahawa 2.4 juta penduduk Kenya berisiko kelaparan menjelang November 2021 (bulan lepas).
Keadaan ini terjadi berikutan kemarau yang melanda utara dan timur Kenya dan kali ini meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
Negara Afrika Timur itu dilanda banyak bencana sejak beberapa tahun lalu, termasuk ancaman belalang juta pada Disember 2019 selain kekurangan hujan kritikal pada 2020 dan 2021, menyebabkan wilayah utara dan timur gersang berdepan keadaan darurat.
Presiden Uhuru Kenyatta mengisytiharkan kemarau sebagai bencana alam bulan lalu, dengan 2.1 juta orang sudah bergelut dengan kelaparan, menurut Lembaga Kemarau Nasional (NDMA).
Dalam situasi itu, Serantau Muslim mengambil peluang dan ruang untuk memberi bantuan kepada umat muslim di sana.
Minggu lalu, Serantau Muslim telah berjaya mengagihkan bantuan kecemasan ke beberapa daerah kecil Balambala, Kenya.
Antara daerah kecil yang berjaya di santuni ialah Ohio, Omar Muhumad, Simpang Saka dan Abdi Gab.
Dalam misi bantuan kecemasan ini, sebanyak 1,000 agihan bantuan makanan dan susu diedarkan di sana.
Serantau Muslim telah mengagihkan sebanyak 12 kilo tepung jagung untuk setiap keluarga dan 12 liter susu kepada 10 orang penduduk kampung.
Alhamdulillah dalam tempoh agihan, hujan turun di beberapa bahagian kawasan, dan air tidak dapat dihantar dan akan dianjak ke minggu hadapan serta kawasan yang tidak hujan.
Ayuh sama-sama kita doakan umat Islam minoriti di seluruh dunia sentiasa dalam rahmat Allah.