2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ROHINGYA DI BHASHAN CHAR DIBENARKAN MELAWAT KELUARGA DI KEM PELARIAN

Cox’s Bazar, Bangladesh: Buat pertama kalinya selepas dipindahkan dua tahun lalu, puluhan pelarian Rohingya yang dihantar ke pulau Bhashan Char dibenarkan melawat ahli keluarga mereka.

Pihak berkuasa membenarkan 68 Rohingya melawat keluarga mereka yang masih berada di pulau utama.

“Kapal tentera membawa mereka ke Chittagong dan dari situ mereka dibawa ke kem dengan menaiki dua bas.

“Ini adalah kali pertama Rohingya yang dipindahkan ke pulau berkenaan dibenarkan melawat ahli keluarga mereka yang masih berada di kem,” kata jurucakap Tentera Laut kepada AFP.

Seorang pegawai pengurusan bencana berkata, kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua lawatan sebulan dari pulau ke kem pelarian.

“Selepas mengetahui nama saya berada dalam senarai lawatan, saya menangis. Abang saya masih tinggal di kem. Saya sangka tidak dapat berjumpanya lagi,” kata Mohammad Hossain.

Kira-kira 850,000 Rohingya ditempatkan di kem yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Bangladesh diberi pujian kerana memberikan perlindungan kepada pelarian ini namun, sukar mendapatkan penempatan kekal untuk komuniti berkenaan.

Bhashan Char terletak 60 kilometer dari darat Bangladesh dan terdedah dengan kejadian taufan.

Sumber: Harian Metro