2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

BANGLADESH HANTAR KUMPULAN KEDUA ROHINGYA KE PULAU TERPENCIL

DHAKA: Bangladesh akan menghantar kumpulan kedua pelarian Rohingya ke pulau terpencil di Teluk Benggala esok, kata pihak berkuasa, walaupun kumpulan hak asasi menggesa usaha itu dihentikan atas alasan keselamatan.

Lebih 1,100 pelarian Rohingya, etnik minoriti Muslim yang melarikan diri dari Myanmar, akan dipindahkan dari kem pelarian berhampiran sempadan Myanmar ke Pulau Bhasan Char, kata dua pegawai yang maklum mengenai perkara itu.

Awal bulan ini, pihak berkuasa sudah memindahkan kumpulan pertama seramai 1,600 orang pelarian Rohingya.


“Bas dan trak sudah bersedia untuk membawa mereka bersama barangan masing-masing ke Pelabuhan Chittagong hari ini. Malam ini, mereka akan kekal di sana.

“Esok, mereka akan dibawa ke pulau itu menggunakan kapal tentera laut,” kata seorang pegawai yang enggan dinamakan kerana isu berkenaan belum dihebahkan kepada umum.

Agensi kemanusiaan dan kumpulan hak asasi menentang penempatan semula mendakwa pulau berada beberapa jam perjalanan dari tanah besar itu terdedah kepada banjir, puting-beliung dan berkemungkinan tenggelam jika air pasang.

Bangladesh memaklumkan, ia hanya memindahkan individu yang mahu ke pulau itu secara sukarela dan penempatan semula akan mengurangkan kesesakan di kem pelarian yang kini didiami lebih sejuta etnik Rohingya.

Pegawai kerajaan bertanggungjawab menguruskan pelarian, Mohammed Shamsud Douza, berkata benteng sepanjang 12 kilometer (km) sudah dibina untuk melindungi pulau itu daripada banjir

Selain itu, kemudahan perumahan untuk 100,000 orang dan pelbagai infrastruktur seperti kedai, sekolah serta pusat rawatan sudah disediakan bagi mereka yang mahu berpindah secara sukarela.

Bagaimanapun, petugas pelarian dan kemanusiaan mendakwa beberapa etnik Rohingya dipaksa untuk pergi ke pulau itu, yang muncul daripada laut kira-kira 20 tahun lalu dan tidak pernah dihuni.

Serantau Muslim mendoakan muslim minoriti Rohingya di sana akan melalui hidup dengan lebih baik dan dipermudahkan segala urusan.

Kredit: Berita Harian