AS AKUI ISRAEL DUDUKI TEBING BARAT
WASHINGTON – Laporan tahunan mengenai hak asasi manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menganggap Israel menduduki Tebing Barat iaitu wilayah yang menjadi milik Palestin.
Laporan tahunan Jabatan Negara AS mengenai hak asasi manusia menggunakan istilah pendudukan itu berdasarkan situasi semasa di Tebing Barat, kata jurucakap jabatan tersebut, Ned Price.
Semasa pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump, laporan tahunan itu tidak menggunakan istilah pendudukan Israel.
Sebaliknya, pada zaman pentadbiran Trump itu, ia hanya menggunakan nama Israel, Tebing Barat dan Gaza bagi merujuk pendudukan rejim Zionis di dua wilayah Palestin tersebut.
Trump turut mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan Bukit Golan menjadi hak rejim Zionis itu.
Bukit Golan sebelum ini adalah hak Syria sebelum dirampas oleh rejim Zionis dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.
Israel berundur dari Genting Gaza pada tahun 2005 tetapi masih mengawal sempadan dan ruang udaranya.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sebelum ini memberikan petunjuk bahawa pentadbiran Presidn AS, Joe Biden tidak akan menarik balik keputusan Trump untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel tetapi akan berusaha untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.
Sumber: Sinar Harian