2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TIGA PETUGAS KESIHATAN WANITA DITEMBAK DI AFGHANISTAN

JALALABAD: Tiga wanita yang dalam misi melaksanakan program imunisasi polio negara, maut ditembak dalam dua serangan berasingan di sini, semalam.

Serangan terhadap mangsa itu berlaku sehari selepas kerajaan mengumumkan pendekatan baru melawan penyakit polio.

Penyelia petugas wanita terbabit, Wahidullah berkata, tiga wanita terbabit bertugas dari rumah ke rumah untuk melakukan vaksinasi polio kepada kanak-kanak.

Seorang pegawai di pejabat kerajaan Nangarhar mengesahkan kejadian itu manakala seorang saudara mangsa, Maqbool berkata, wanita itu menyertai program imunisasi itu untuk mendapatkan pendapatan.

“Dia ditembak di kepala ketika bertugas untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak,” kata Maqbool.

Seorang petani, Saifullah yang menyaksikan kejadian dua mangsa ditembak berkata, tiga orang mengikuti wanita terbabit sebelum menembaknya.

“Dua wanita itu berhenti di hadapan sebuah rumah dan sedang mengetuk pintu. Mereka membawa satu kotak perubatan dan kertas.

“Suspek datang menghampiri dan terus menembak sebelum melarikan diri,” katanya.

Susulan kejadian itu, jurucakap kementerian kesihatan berkata, program vaksinasi dihentikan sementara di Nangarhar.

Sementara itu, pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) ke Kabul, Ross Wilson mengecam pembunuhan itu.

“Serangan sebegini adalah bertentangan dengan hasrat rakyat Afghanistan untuk membina kehidupan baharu kepada anak-anak mereka,” katanya menerusi Twitter.

Penyakit polio berjaya dibasmi di seluruh dunia kecuali di Afghanistan dan Pakistan susulan sesetengah pihak tidak mempercayai program vaksin itu.

Bagaimanapun, Taliban dan pemimpin agama sering mengingatkan masyarakat yang vaksin adalah konspirasi Barat bertujuan merosakkan generasi orang Islam selain mengesyaki peralatan imunisasi digunakan untuk mengintip aktiviti pengganas.

Sumber: Berita Harian