AKIBAT SEKATAN MAKANAN OLEH PEMBERONTAK HOUTHI, RAKYAT YAMAN ALAMI KEBULURAN
SANAA, 5 Sept – Pemberontak Houthi Yaman bertindak memusnahkan bertan-tan bantuan makanan dikatakan mereka sudah tamat tempoh selepas ia dilaporkan ditahan selama berbulan di negara dilanda perang itu dan kini rakyat di negara tersebut menghampiri kebuluran.
Pemberontak disokong Iran yang mengawal ibu kota Yaman di sini, menggunakan jentolak untuk memecahkan karung beras dan tepung dipenuhi ulat memaparkan logo Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WFP).
“Bekalan makanan ini sudah tamat tempoh dan dipenuhi serangga kecil. Ia malah tidak elok untuk menjadi makanan haiwan,” kata pegawai Houthi, Majed Sari.
Sumber PBB berkata, bantuan itu sepatutnya disalurkan kepada keluarga di bandar Taiz pada November 2018.
“Namun ia ditahan di pusat pemeriksaan selama berbulan,” kata salah seorang sumber.
Yaman sudah menjadi negara paling miskin di Arab apabila pakatan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 untuk meningkatkan sokongan kepada kerajaan selepas pemberontak Houthi merampas ibu kota ini.
Konflik berkenaan sejak itu mencetuskan kekurangan nutrisi dan apa yang digelar PBB krisis kemanusiaan terburuk dunia.
Namun WFP yang mendakwa membantu kira-kira 11 juta penduduk sebulan di Yaman, menghentikan pengagihan bekalan di wilayah dikawal pemberontak sejak Jun lalu susulan tuduhan ‘pengubahan makanan’ untuk orang awam di negara itu.
Perang itu menyebabkan puluhan ribu penduduk maut sejak pakatan campur tangan, menurut angka PBB.
Lebih tiga juta orang hilang tempat tinggal dan dua pertiga penduduk negara itu memerlukan bantuan, kata badan dunia itu. -AFP
Sumber: Berita Harian