Info SemasaKenyataan Media

382 PELARIAN ROHINGYA KELAPARAN DI DALAM BOT BESAR

DHAKA: Pengawal pantai Bangladesh menyelamatkan sekurang-kurangnya 382 pelarian Rohingya yang sedang kelaparan berada dalam sebuah bot besar di perairan negara itu, selepas hampir 2 bulan belayar di laut.

Jurucakap, Leftenan Shah Zia Rahman berkata, pengawal pantai yang melancarkan pencarian bot itu selama 3 hari berdasarkan maklumat diterima, berjaya mengesannya pada malam Rabu di luar pantai tenggara negara itu.

“Kami menyelamatkan sekurang-kurangnya 382 etnik Rohingya daripada kapal pukat tunda besar yang penuh sesak dan membawa mereka ke sebuah pantai berhampiran Teknaf. Mereka kelaparan,” kata Rahman kepada AFP sambil menambah lebih 30 orang meninggal dunia dalam bot itu.

“Mereka belayar selama 58 hari dan 7 hari terakhir ia bergerak di perairan kami.”

Etnik Rohingya itu yang disangka dari kem pelarian di pantai tenggara Bangladesh, dalam perjalanan ke Malaysia, tetapi berpatah balik ke laut kerana rondaan pantai ketat dilaksanakan negara itu susulan pandemik koronavirus (COVID-19), lapor akhbar tempatan Dhaka Tribune.

Rahman berkata, pihak berkuasa akan menyiasat kemungkinan pelarian itu berasal dari negeri Rakhine di Myanmar, di mana mereka ialah minoriti Islam ditindas.

Mereka yang diselamatkan melaporkan “32 etnik Rohingya mati di atas kapal pukat tunda itu yang penuh sesak dan mayat mereka dibuang ke laut”, kata pegawai itu sambil menambah siasatan ke atas perkara itu sedang dijalankan.

“Kami sudah menutup tempat mereka mendarat. Kami tidak dapat menyoal siasat mereka kerana bimbang mereka dijangkiti coronavirus,” katanya.

Rakaman dimuat naik ke Facebook oleh seorang wartawan tempatan menunjukkan kebanyakan wanita dan kanak-kanak yang berdiri di pantai itu kurus kering.

Seorang pentadbir kerajaan tempatan memberitahu AFP, pegawainya masih menghitung jumlah Rohingya yang diselamatkan dan bimbang ia mungkin melebihi 400 orang.

Dhaka Tribune melaporkan bot itu dipenuhi hampir 500 etnik Rohingya.

Hampir sejuta etnik Rohingya tinggal di kem sangat kotor berhampiran sempadan Bangladesh dan Myanmar, manakala ramai yang melarikan diri ke negara jiran selepas tindakan keras tentera bermula 2017.

Dengan sedikit peluang pekerjaan dan pendidikan di kem terbabit, ribuan Rohingya cuba melarikan diri ke negara lain seperti Malaysia dan Thailand.

Sejak akhir tahun lalu, agensi penguatkuasaan undang-undang Bangladesh menyelamatkan kira-kira 1,000 etnik Rohingya dari kampung pesisir pantai dan bot ketika mereka menunggu menaiki bot ke Malaysia.

Sumber: Berita Harian