WhatsApp Image 2023-04-18 at 5.22.10 PM
Info Semasa

2 cedera dalam tembakan di Baitulmaqdis Timur

BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya dua orang tercedera, selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan di Baitulmaqdis Timur, semalam.

Menurut Berita Harian, perkhidmatan kecemasan Israel, berkata serangan itu berlaku ketika keganasan Israel semakin meningkat dan ketegangan memuncak ketika bulan suci Ramadan, sejak lebih setahun.

Polis Israel berkata penyerang disyaki melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur, di mana berlaku ketegangan teruk antara penduduk Palestin dan Yahudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkhidmatan ambulans mengesahkan dua orang cedera ringan dan polis berkata mereka sedang mencari penyerang yang disyaki.

Dalam kejadian berasingan, tentera Israel berkata sebuah rumah di Kibbutz terkena serangan tembakan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Israel merampas Baitulmaqdis Timur, yang merangkumi Kota Lama selepas perang pada 1967 dalam satu langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya yang kekal dan tidak berbelah bahagi.

Rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara selepas merdeka di masa hadapan, lapor Berita Harian.