Info SemasaKenyataan Media

1SR@EL SERANG LUBNAN SELEPAS 7 TAHUN

BAITULMAQDIS: Tentera udara Israel melakukan serangan udara pertama dalam tempoh tujuh tahun ke atas negara jirannya, Lubnan sejak semalam.

Tentera udara Israel, dalam satu kenyataan, berkata serangan memasuki hari kedua dengan pelancaran roket melintasi sempadan negara berkenaan.

“Awal hari ini (semalam), roket dilepaskan dari Lubnan ke wilayah Israel dan sebagai tindakan balas, jet pejuang menyerang lokasi serta infrastruktur yang digunakan Lubnan untuk melancarkan roket terbabit.

“Sasaran tambahan di kawasan asal roket itu dilancarkan sebelum ini juga diserang,” menurut tentera udara Israel melalui Twitter.

Lubnan mengutuk serangan itu sebagai tindakan keterlaluan, sekali gus menandakan perubahan taktik oleh Israel dalam konflik itu manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak supaya sekatan dibuat.

Jet milik Israel secara rutin menyerang sasaran tertentu di Gaza yang disyaki pangkalan Hizbullah atau sasaran Iran di Syria, namun kali terakhir serangan dibuat ke atas Lubnan adalah pada 2014.

Presiden Lubnan, Michel Aoun, berkata tindakan Israel menyasarkan penduduk negara itu buat pertama kali sejak 2006 dan menjangkakan Israel akan meningkatkan serangan lagi.

Sementara itu, pasukan pengaman PBB (UNIFIL), yang dikerahkan ke Lubnan sejak 1978 dan mengawal sempadan sejak konflik 2006, berkata kedua-dua negara itu perlu bertindak segera untuk mengurangkan ketegangan.

Ketua misi UNIFIL, Stefano Del Col, yang menyertai pertemuan bersama pegawai tentera Israel dan Lubnan berkata kedua-dua pihak digesa berusaha mengukuhkan keselamatan dan kestabilan di sepanjang garis pemisah sempadan atau Garis Biru.

“Dalam tempoh sukar sekarang, mekanisme ini ternyata boleh menyelesaikan kemelut dengan baik dan kini adalah masanya untuk melakukannya semula tanpa campur tangan pihak luar,” katanya.

Semalam adalah hari kedua berturut-turut Israel melancarkan serangan roket terhadap Lubnan.

Difahamkan, tiga roket dilancarkan kelmarin, dengan dua daripadanya disasarkan ke Israel iaitu berhampiran bandar utara Kiryat Shmona, menyebabkan empat orang cedera dan terpaksa dirawat.

Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, tentera Israel berkata mereka melancarkan tiga pusingan tembakan di selatan Lubnan, yang mengakibatkan kebakaran, namun tiada korban dilaporkan.

Sementara itu, menurut tentera Lubnan, 92 tembakan meriam dilepaskan Israel di selatan Lubnan susulan serangan kelmarin. 

Sumber: Berita Harian