2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

4 KANAK-KANAK KORBAN TERBARU PENGEBOMAN REGIM SYRIA

BEIRUT: Pengeboman regim Syria mengorbankan empat kanak-kanak di kubu terakhir kumpulan pemberontak di barat laut negara itu.

Sukarelawan perang berpusat di London, Pemantau hak Asasi Manusia Syria, berkata serangan artileri lewat semalam itu menyasarkan kawasan perumahan di wilayah dikuasai pemberontak di selatan Idlib.

Mangsa adalah penduduk perkampungan Qastoun di daerah Hama dan semuanya adalah dari keluarga yang sama.

Wilayah Idlib mempunyai sekitar tiga juta penduduk termasuk dua pertiga berhijrah dari wilayah lain selepas kehilangan tempat tinggal susulan perang saudara sejak sedekad lalu.

Ia kini dikuasai bekas sekutu Al-Qaeda di Syria tetapi pemberontak dan militan lain turut hadir di kawasan berkenaan.

Gencatan senjata sebelum ini yang diusahakan sekutu regim Syria, Russia dan penyokong pemberontak, Turki, melindungi wilayah berkenaan daripada sebarang serangan kerajaan sejak Mac 2020.

Bagaimanapun, regim Syria kini kembali meningkatkan serangan dan pengeboman terutama di kawasan selatan wilayah dikuasai pemberontak sejak Jun lalu.

Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang mengangkat sumpah untuk penggal baharu bulan lalu, berikrar akan merebut kembali kawasan tertentu tanah air yang perlu dibebaskan.

Perang di Syria setakat ini sudah mengorbankan sekitar setengah juta nyawa sejak bermula pada 2011 dengan tindakan ganas cuba meleraikan tunjuk perasaan anti-kerajaan.

Sumber: Berita Harian