12 TERBUNUH DALAM PERTEMPURAN DI KASHMIR
SRINAGAR, INDIA: Sembilan militan dan tiga tentera terbunuh dalam dua kejadian berasingan di wilayah Kashmir yang ditadbir oleh India, kata pegawai hari ini, tatkala pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung bagi memerangi penyebaran pandemik COVID-19.
Kashmir, sebuah rantau bergolak yang menjadi rebutan oleh saingan nuklear India dan Pakistan, telah lama di bawah perintah berkurung yang dikenakan untuk meredakan pergolakan akibat New Delhi membatalkan status semi-otonomi lembah Himalaya pada 5 Ogos.
Jurucakap tentera India, Kolonel Rajesh Kalia, berkata lima militan bersenjata terbunuh awal hari ini di daerah Keran utara berhampiran sempadan de facto yang dikenali sebagai Line of Control (LoC), yang membahagikan wilayah yang menjadi pertikaian dengan Pakistan.
Pertempuran itu juga mengakibatkan tiga tentera terbunuh dan kecederaan kritikal terhadap beberapa lagi, katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Ia berlaku dalam masa 24 jam pertempuran senjata yang lain antara pemberontak yang disyaki dengan pasukan pemerintah di daerah Kulgam selatan yang mengakibatkan empat kematian.
Polis berkata, kesemua mereka adalah militan dari kawasan tempatan.
Kashmir telah melancarkan pemberontakan bersenjata selama tiga dekad terhadap pemerintahan India dengan puluhan ribu nyawa terkorban, kebanyakan orang awam, hilang dalam konflik.
India kerap menuduh Pakistan menyerang dan menghantar pemberontak merentasi sempadan ketenteraan.
Islamabad menafikan dakwaan terbabit.
Sumber: Berita Harian