‘Dunia perlu berlaku adil kepada rakyat Palestin’ – Duta Palestin ke Malaysia
KUALA LUMPUR: Masyarakat dunia digesa supaya berlaku adil serta tidak bertindak pilih kasih dalam konflik Palestin-Israel yang memuncak ketika ini.
Berita Harian yang memetik kenyataan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, menegaskan pergolakan terkini yang tercetus sejak Sabtu lalu bukan peperangan antara Hamas dengan Israel, sebaliknya adalah kebangkitan rakyat Palestin menentang penjajahan.
Berdasarkan perangkaan setakat ini, beliau berkata, seramai 413 rakyat Palestin terkorban, termasuk 78 kanak-kanak dan 41 wanita.
“Adakah 78 kanak-kanak dan 41 wanita itu anggota kumpulan Hamas? Tidak. Mereka adalah rakyat Palestin yang dibunuh.
“Isu sekarang bukan antara Hamas dengan Israel seperti yang dinyatakan media Barat. Isu sekarang adalah antara Palestin dengan Israel. Apabila Israel menyerang Gaza, mereka tidak membezakan sama ada Hamas dan Fatah, tetapi mereka menyasarkan rakyat Palestin.
Ketika ini, Walid berkata, Israel cuba mewujudkan propaganda dalam kalangan masyarakat antarabangsa untuk meyakinkan dunia bahawa peperangan yang berlaku adalah menentang Hamas.
Beliau menjelaskan, provokasi dilakukan rejim Zionis dengan menyerang Jenin, Nablus, Hebron dan Masjid Al-Aqsa, bukan untuk menyerang Hamas tetapi sebaliknya menyasarkan rakyat Palestin.
“Israel selalu berkata: ‘Rakyat Palestin yang baik adalah rakyat Palestin yang mati.’
“Oleh itu, apa yang dilakukan sekarang adalah rakyat Palestin sedang bersatu tanpa mengira fahaman politik, untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel,” katanya.
Justeru, Walid merayu supaya masyarakat antarabangsa memperlakukan rakyat Palestin dengan selayaknya seperti manusia dan sebuah negara yang menjadi mangsa jenayah Israel.
“Masyarakat dunia mempunyai tanggungjawab untuk berlaku adil terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Walid menegaskan, rakyat Palestin telah lama memberi amaran kepada masyarakat dunia serta berjuang sepanjang tempoh 75 tahun pencerobohan Israel.
Namun, beliau berkata, kegagalan dunia dan Israel membenarkan rakyat Palestin untuk melaksanakan hak mereka dan mewujudkan negara yang sah, adalah asas kepada pergolakan yang berlaku hari ini.
“Apabila Israel mencerobohi Masjid Al-Aqsa, apabila kem dan bandar Palestin diceroboh, adakah mereka berharap rakyat Palestin hanya akan berdiam diri? Tidak. Rakyat Palestin perlu bertindak balas dan itulah yang berlaku hari ini.
“Isu sekarang ialah Israel mewujudkan keadaan yang mendorong Palestin untuk bertindak balas. Sejak Januari 2023 hingga sekarang, lebih 200 penduduk ditembak mati di Tebing Barat. Adakah mereka berharap saudara kami di Gaza akan duduk diam?” katanya.
Walid menekankan, pergolakan berlaku di Gaza bukanlah peperangan, sebaliknya hanyalah tindakan mempertahankan diri oleh rakyat Palestin.
“Peperangan adalah antara tentera dengan tentera, antara negara dengan negara… tetapi kami dijajah.
“Ini adalah peperangan sebelah pihak menentang rakyat Palestin yang tidak bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, Walid berkata, Malaysia adalah penyokong kuat yang sentiasa memberi dukungan dan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Malah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) turut menyentuh mengenai hak rakyat Palestin kepada seluruh masyarakat dunia.
“Saya berharap Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam kalangan negara Asia dan di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mendorong dunia supaya berlaku adil kepada rakyat Palestin,” katanya.