2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
dede8017-a53f-4a98-8cc0-ff2561803705.jpg
Info Semasa

Dunia memperingati perjuangan tokoh menentang perkauman dan apartheid

JOHANNESBURG – Sempena memperingati ulang tahun ke 104 kelahirannya pada Isnin, berjuta-juta orang di seluruh dunia mengenang Nelson Mandela, negarawan global yang paling dihormati, lapor Agensi Anadolu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2009 menetapkan 18 Julai sebagai Hari Nelson Mandela Antarabangsa untuk meraikan hari lahirnya serta memperingati perjuangan tokoh itu menentang perkauman dan apartheid.

Mandela meninggal dunia pada tahun 2013, semasa berusia 95 tahun.

Sebagai menghormati dan menghargai sumbangan Mandela terhadap kemanusiaan, rakyat Afrika Selatan dari semua lapisan masyarakat mendedikasikan 67 minit masa mereka untuk menjadi sukarelawan bagi kerja-kerja amal dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Angka 67 merupakan jumlah tempoh Mandela berjasa kepada rakyat.

Dilahirkan di kampung Mvezo di wilayah Eastern Cape, Mandela menghabiskan 27 tahun meringkuk di penjara kerana menentang rejim apartheid.

Beliau menjadi presiden pertama Afrika Selatan yang dipilih secara demokrasi pada 1994.

Meskipun dipenjarakan selama bertahun-tahun, Mandela tidak menunjukkan sebarang derita mahu pun dendam terhadap mereka yang memenjarakannya. Sebaliknya, memilih untuk perdamaian dan memaafkan mereka untuk menyatukan semua kumpulan kaum di Afrika Selatan.

Pendekatan kepimpinan dan kebolehannya untuk menyatukan semua orang amat dikagumi dunia dan melayakkan beliau memenangi Hadiah Keamanan Nobel 1993.

Presiden Cyril Ramaphosa akan mengetuai sambutan Hari Nelson Mandela Antarabangsa di bandar Gqeberha di Eastern Cape. Beliau akan mengetuai pemeriksaan di pusat rawatan air dan kemudiannya menyertai aktiviti pembersihan Sungai Swartkops di Veeplaas.

Beberapa menteri, ketua misi diplomatik dan pemimpin perniagaan pula akan turun padang membersihkan jalan raya, rumah jagaan, rumah anak yatim dan sekolah, antara lain. Kedutaan Turki berkata ia akan menderma barangan kebersihan di hospis tempatan.

Sumber: Sinar Harian