2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-04-06 at 10.44.26 AM
Info Semasa

Dua orang awam maut serangan Israel ke atas Syria

DAMSYIK: Dua orang awam Syria terbunuh dalam serangan udara Israel, serangan keempat seumpama itu di kawasan dikuasai kerajaan di negara dilanda perang dalam tempoh kurang seminggu.

“Pada 00:15 (2115 GMT Isnin) musuh Israel melakukan serangan udara dan serangan itu mengakibatkan kematian dua orang awam,” memetik sumber tentera, lapor Berita Harian.

“Serangan datang dari arah Syrian Golan, sebuah wilayah di barat daya Syria yang diduduki (oleh tentera Israel) menyasarkan beberapa titik di sekitar Damsyik dan wilayah selatan”, katanya, sambil menambah bahawa pertahanan udara memintas sebahagian besar daripada serangan itu.

Sepanjang lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah Lubnan serta kedudukan tentera Syria.

Dalam laporan sama, bunyi letupan turut kedengaran di sekitar Damsyik.

Pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights berkata bahawa peluru berpandu Israel menyasarkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, sebuah kompleks Iran berhampiran kawasan Sayyida Zeinab dan lokasi lain di al-Kiswah.

Pada Ahad, dua pejuang yang bersekutu dengan Iran terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sasaran di Syria, menurut pemantau yang berpangkalan di Britain dengan rangkaian sumber yang luas dalam negara itu, dengan SANA melaporkan lima tentera Syria cedera.

Israel menyerang awal Ahad berhampiran bandar Homs di barat Syria, selepas menyerang ibu negara Syria pada Khamis dan awal Jumaat.

Perang Syria meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes antikerajaan secara aman dan meningkat kepada konflik bersenjata maut yang menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Lebih setengah juta orang terbunuh dan kira-kira separuh daripada populasi sebelum perang Syria dipaksa keluar dari rumah mereka.