2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

DASAR CHINA BERTUJUAN SEKAT KADAR KELAHIRAN DI XINJIANG

BEIJING: Dasar China yang secara khusus menyasarkan pengurangan penduduk Islam Uighur di Xinjiang berupaya menghalang kadar kelahiran sekitar empat juta bayi dalam tempoh dua dekad akan datang.

Penemuan hasil kajian terbaru itu antara lain memperuntukkan unjuran peningkatan penduduk Han di China, iaitu majoriti di kebanyakan negara terbabit, daripada 8.4 peratus kepada 25 peratus di wilayah berkenaan.

Beijing, sejak beberapa tahun lalu cuba mengukuhkan cengkaman di kawasan yang sebelum ini berdepan ketidakseimbangan ekonomi dan siri ketegangan secara berterusan.

Jutaan kaum Han di China dipindahkan semula ke Xinjiang sejak beberapa dekad kebelakangan ini bagi mencari pekerjaan di wilayah yang kaya dengan hasil bumi seperti arang dan gas, sehingga mencetuskan pergeseran dengan etnik tempatan.

Penyelidik Jerman, Adrian Zenz, berkata kertas kajian penyelidik keselamatan China yang diterbitkan untuk khalayak umum ‘menuding jari’ kepada kepadatan masyarakat minoriti sebagai faktor pendorong di sebalik pertelagahan.

Sehubungan itu, antara cadangan yang dikemukakan bagi merungkai risiko polemik sedemikian ialah dengan mengawal jumlah penduduk minoriti di China.

Pada masa sama, beliau berkata kawalan kadar kelahiran digunakan sebagai kaedah mengubah demografik kawasan, susulan wujud kebimbangan mengenai penyusutan sumber asli bagi menyokong peningkatan penduduk Han.

Minggu lalu, China mengumumkan perubahan besar terhadap dasar kawalan jumlah anak bagi setiap keluarga, yang menyaksikan ia kini ditingkatkan kepada tiga orang selepas republik itu berdepan isu peningkatan penduduk yang semakin tua.

Bagaimanapun, pakar sarjana di Beijing tidak berpendirian bahawa semua bayi mempunyai taraf yang sama di Xinjiang dan menggesa supaya suatu dasar dirangka bagi mengurangkan kadar kelahiran anak etnik minoriti.

Strategi itu merangkumi usaha meningkatkan dasar kawalan kelahiran di wilayah berkenaan, termasuk memperuntukkan hukuman penjara sekiranya mempunyai terlalu ramai anak dan pemandulan secara paksa.

Menekankan empat daerah di selatan Xinjiang dan menggunakan model disyorkan beberapa sarjana China, Zenz mengunjurkan Beijing berupaya meningkatkan jumlah penduduk Han di kawasan penempatan tradisi Uighur sehingga 25 peratus daripada keseluruhan penduduk.

“Wujud usaha untuk mengurangkan pertumbuhan penduduk etnik minoriti bagi meningkatkan jumlah penduduk Han di selatan Xinjiang,” katanya.

Perangkaan rasmi susulan analisis Institut Dasar Strategik Australia itu menunjukkan kadar kelahiran di Xinjiang menyusut hampir 50 peratus antara 2017 dan 2019.

Ia juga adalah kadar penurunan yang paling mendadak di seluruh wilayah di China dan paling ketara pada peringkat global sejak 1950.

Mengikut perkiraan Zenz, pertumbuhan semula jadi etnik minoriti di selatan Xinjiang bakal mencecah 13.14 juta menjelang 2040, namun dasar kawalan penduduk berupaya menyekat kelahiran Uighur dan etnik minoriti lain menjangkau 4.5 juta.

China sehingga kini dihujani kritikan antarabangsa berikutan dasar yang diterapkan di Xinjiang, yang mana Amerika Syarikat (AS) mendakwa Beijing sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Xinjiang.

Sumber: Berita Harian