BOT DINAIKI 65 PELARIAN ROHINGYA MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA
SATUN 19 Jun – Pihak berkuasa Thailand mengesahkan seramai 65 pelarian etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada 11 Jun lalu merupakan mangsa pemeragangan manusia.
Kesemua mangsa yang terlibat ialah 31 orang wanita, 29 orang lelaki dan lima orang kanak-kanak di atas bot yang terkandas itu telah dipindahkan ke Pusat Perlindungan dan Pembangunan Kraftangan Surat Thani dan Pusat Perlindungan Pemerdagangan Manusia, Songkhla.
Setelah pemeriksaan secara terperinci, pihak polis mengenal pasti kesemua mereka atas bot tersebut merupakan mangsa pemerdagangan manusia.
Kini, mereka berada di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia, Thailand.
Sebelum ini, polis Thailand menahan enam lelaki iaitu juragan dan kru bot nelayan itu.
Media tempatan melaporkan jurugan bot itu, seorang warga Thailand, mendakwa dia dibayar upah 100,000 Baht (RM13,356) oleh seorang warga Myanmar untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia.
Pihak berkuasa telah mengenakan pertuduhan awal terhadapnya kerana membawa masuk pendatang asing ke negara ini
Sumber: Utusan Malaysia