2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

BENJAMIN NETANYAHU SEKAT BEKALAN BAHAN API KE GAZA

 

BANDAR GAZA, 27 Ogos – Pihak berkuasa memaklumkan Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza semalam sebagai maklum balas serangan roket Palestin selain mengurangkan penghantaran bahan api ke wilayah terkepung itu.

 

Siri insiden bulan ini meningkatkan kebimbangan berhubung kemungkinan pertembungan lebih besar sebelum pilihan raya umum Israel 17 September ini.

 

Pengurangan bahan api ke stesen jana kuasa utama wilayah itu kepada separuh bermaksud pemotongan bekalan elektrik sedia ada yang sudah dicatu.

 

Tentera Zionis berkata, tiga roket dilepaskan dari Gaza ke selatan Israel malam Ahad lalu dan dua daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara.

 

Pasukan medik melaporkan seorang wanita cedera ringan apabila terjatuh ketika lari menyelamatkan diri.

 

“Sebagai tindak balas, jet pejuang Israel menyerang sejumlah sasaran dalam kawasan tentera Hamas di utara Semenanjung Gaza termasuk pejabat seorang komander batalion Hamas,” kata kenyataan pagi semalam.

 

Satu kenyataan berasingan daripada unit Kementerian Pertahanan Israel COGAT berkata, pemotongan bahan api terbaharu diarah secara peribadi oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang juga Menteri Pertahanan.

 

Katanya, Netanyahu mengarahkan ‘pemindahan bahan api menerusi lintasan sempadan Kerem Shalom ke stesen jana kuasa di Gaza dikurangkan kepada separuh, berkuat kuasa pagi Isnin sehingga notis lanjut.’

 

Hamas mengecam pemotongan itu sebagai ‘tindakan hukuman terkumpul yang melanggar semua undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa.’

 

Penghantaran bahan api yang diselaraskan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dibayar Qatar, adalah sebahagian perjanjian damai.

 

Manakala menurut PBB, ia memulihkan bekalan elektrik di wilayah terkepung itu di mana sehingga pemotongan terbaharu, penduduk memperoleh bekalan kuasa 10 jam sehari.

 

Sumber: Berita Harian