AS akui tentera Israel tembak wartawan Al Jazeera
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) membuat kesimpulan pada Isnin bahawa wartawan wanita Al Jazeera, Shireen Abu Akleh berkemungkinan terbunuh akibat tembakan Israel.
Bagaimanapun, ia menegaskan tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa beliau ditembak dengan sengaja.
AS juga tidak dapat membuat kesimpulan muktamad dari mana peluru datang yang menyebabkan wartawan itu maut dalam kejadian pada 11 Mei lalu di kem pelarian Jenin, Palestin.
“Pakar balistik menentukan peluru itu rosak teruk yang menghalang kesimpulan yang jelas,” kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP selepas apa yang disebutnya sebagai analisis forensik yang sangat terperinci mengenai peluru tersebut.
Shireen yang memegang kewarganegaraan AS dan merupakan salah seorang wartawan Palestin yang paling terkenal maut ditembak ketika membuat liputan tentang operasi tentera Israel di Jenin, Tebing Barat yang dijajah walaupun memakai vest bertulis ‘Akhbar’.
Kematiannya mencetuskan kemarahan dengan pihak berkuasa Palestin mendakwa beliau ditembak dengan sengaja dalam apa yang dianggap sebagai jenayah perang.
Siasatan akhbar AS, New York Times mendapati peluru itu ditembak dari jarak dekat di lokasi konvoi tentera Israel, kemungkinan daripada seorang askar dari unit elit dan tiada penduduk Palestin bersenjata berada di kawasan tersebut.
Sumber: Sinar Harian