2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-10-17 at 12.04.27 PM
Info Semasa

Anwar terima panggilan Hamas, sokong koridor kemanusiaan di Rafah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar pengeboman di Gaza dihentikan segera dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, yang menghubungkan Gaza ke Mesir.

Dalam laporan Malaysia Kini yang dipetik dari hantaran di media sosial, PM berkata dia berhubungan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semalam dan telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Memandangkan situasi teruk di Gaza, saya sangat menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

“Ia juga mustahak bagi Israel untuk meninggalkan kepatuhan mereka terhadap rampasan kuasa politik, segera melakukan gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mencari resolusi aman untuk menamatkan konflik yang berterusan.

“Adalah penting agar kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas oleh krisis ini diberi keutamaan berbanding perkara lain,” tambah PM.

Tambahnya, atas semangat ini, Malaysia komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan bagi meringankan penderitaan mereka yang memerlukan.

Anwar turut berkongsi sekeping gambar semasa kunjungan hormat Ismail dan delegasinya ke pejabat Perdana Menteri pada 24 Januari 2020.

Ketika ini, pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza masihberterusan. Dianggarkan 2.3 juta rakyat Palestin masih terperangkap. Sejak konflik itu tercetus 7 Oktober lalu, rejim Yahudi telah mengenakan sekatan menyeluruh ke atas kawasan itu tiada bekalan air, bahan api dan elektrik.

Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry berkata Israel masih belum membenarkan pembukaan lintasan Rafah, yang akan membolehkan orang awam melarikan diri daripada wilayah yang diserang.

Semalam, Anwar berkata bahawa menghantar tentera Malaysia untuk membantu perjuangan rakyat Palestin menentang Israel bukan perkara yang mudah.

Bercakap di Dewan Rakyat, dia berkata keputusan seumpama itu bukan untuk dibuat sendiri oleh Malaysia kerana sebarang bentuk bantuan kepada Palestin hanya boleh disampaikan dengan kebenaran negara jiran.

“Kalau tidak pesawat kita tidak boleh mendarat. Jadi saya minta supaya ada kefahaman, jangan dikelirukan rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, Anwar berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan RM10 juta kepada Palestin dan berharap syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta dapat menyumbang bagi meningkatkan jumlah bantuan kepada RM100 juta.