2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-11-20 at 9.54.38 AM
Info SemasaUncategorized

Angkatan Pertahanan Israel perlu dimasukkan ‘senarai entiti hina’

KEBIMBANGAN dan bantahan masyarakat dunia terhadap serangan rejim Zionis melalui operasi udara, darat dan laut oleh tentera Israel terhadap Gaza semakin memuncak, apatah lagi ia turut mengorbankan bayi dan kanak-kanak Palestin.

Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sendiri bimbang Gaza bakal menjadi ‘kuburan untuk kanak-kanak’, manakala Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki menegaskan Gaza sudah berubah daripada penjara terbuka terbesar di dunia kepada tanah perkuburan terbuka terbesar disebabkan sekatan serta serangan berterusan Israel.

Justeru, pemimpin dunia termasuk Malaysia digesa menyenaraikan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) ke dalam senarai entiti melakukan pelanggaran berat terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata atau dipanggil ‘senarai entiti hina’ berkuat kuasa serta-merta, sekali gus memberikan keutamaan terhadap perlindungan kanak-kanak dalam tindak balas Israel.

Hakikatnya, tentera Israel melakukan kekejaman serius yang sememangnya bersifat jenayah perang yang paling kejam dan hina disaksikan masyarakat dunia. Antara 7 Oktober hingga 7 November sahaja, sekurang-kurangnya 4,237 kanak-kanak Palestin terbunuh. Manakala menurut data terkini, jumlah korban yang dicatatkan dalam kalangan rakyat Palestin sudah mencecah hampir lebih 13,000 orang manakala yang tercedera pula lebih 30,000.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, di tengah-tengah pengeboman intensif tentera Israel, jumlah kanak-kanak terbunuh di wilayah itu dalam tempoh tiga minggu selepas 7 Oktober melebihi jumlah direkodkan terbunuh setiap tahun di zon konflik global sejak 2019.

Serangan ganas ragut nyawa orang awam

Serangan ganas Israel itu tidak hanya mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak, bahkan memusnahkan dan merosakkan sekurang-kurangnya 278 kemudahan pendidikan serta 120 kemudahan kesihatan.

Pemotongan kuasa, bahan api dan elektrik dan penafian yang disengajakan terhadap semua terutama orang awam sedangkan bantuan kemanusiaan yang dapat dihantar sangat tidak mencukupi.

Tindakan dilakukan Israel ini adalah jenayah perang kerana meletakkan nyawa kanak-kanak dalam bahaya. Keadaan menjadi semakin rumit oleh ketidakupayaan hampir mana-mana kanak-kanak yang sakit dan cedera untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar Gaza.

Operasi tentera Israel di kawasan berhampiran dan hospital serta desakan pihak berkuasa Israel supaya petugas dan pesakit dipindahkan sebenarnya tidak bermakna apa-apa. Ini kerana tiada tempat selamat untuk pesakit melarikan diri, sekali gus sukar mendapat sokongan untuk terus hidup. Malah, bayi memerlukan penjagaan khas dalam inkubator, hampir pasti akan menemui kematian.

Hakikatnya, membunuh dan mencacatkan kanak-kanak, penculikan kanak-kanak, serangan ke atas sekolah dan hospital serta penafian akses kemanusiaan adalah pelanggaran serius terhadap hak dan keselamatan kanak-kanak dalam konflik bersenjata menurut resolusi Majlis Keselamatan 1612 dan Resolusi mengenai Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata (CAAC).

PBB sendiri mengesahkan berlaku ribuan kes pelanggaran serius dilakukan terhadap kanak-kanak di wilayah Palestin diduduki Israel melalui rangka kerja agenda CAAC.

Oleh itu, kita menuntut pemimpin dunia termasuk Malaysia berusaha untuk memasukkan IDF ke dalam ‘senarai entiti hina’ kerana jenayah dan pelanggaran undang-undang antarabangsa membabitkan hak dan keselamatan kanak-kanak.

Malah, ia juga perlu memasukkan rujukan yang jelas mengenai penghormatan dan perlindungan hak kanak-kanak Palestin apabila menyokong tindakan oleh pihak yang terbabit dalam konflik.

Begitu juga penekanan perlu diberikan agar semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan tegas, menamatkan serangan secara tidak sah dan mempertimbangkan kepentingan terbaik kanak-kanak, wanita dan warga tua dalam setiap keputusan.

Semua negara juga perlu memanfaatkan kedudukan dan jaringan hubungan antarabangsa dengan pihak sekutu untuk menyokong tindakan konkrit bagi melindungi kanak-kanak, wanita dan warga tua, sekali gus menamatkan pelanggaran serius yang berterusan terhadap orang awam.

Sumber: Penganalisis politik (BH)