2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ANGKARA MENYEBELAHI ISRAEL, WARGA PALESTIN DIBERKAS

BAITULMAQDIS – Pihak Berkuasa Palestin (PA) menahan beberapa individu selepas mereka didapati menyebelahi tindakan Israel memperluaskan jajahannya di sebahagian kawasan dekat Tebing Barat.

Penangkapan itu dibuat susulan beberapa warga Palestin yang menduduki kawasan Tebing Barat mengemukakan kenyataan berbaur harapan, menerusi siaran televisyen Israel untuk menjadi sebahagian daripada rakyat republik berkenaan.

Tindakan punitif sedemikian tercetus kerana kenyataan yang diutarakan warga Palestin terbabit bertentangan dengan pendirian PA mengenai percaturan Israel memperluaskan jajahannya di Tebing Barat.

Menerusi klip temu bual itu, imej beberapa warga Palestin dirakam oleh kamera tersorok, malah wajah mereka dikaburkan manakala suara diubah ketika siaran.

Antara kenyataan yang dibuat tiga warga Palestin ketika ditemu bual ialah pendirian mereka untuk mendapatkan kad identiti warga Israel, selain menyifatkan Kerajaan Israel adalah musuh sebenar, bukan republik berkenaan.

Wartawan Israel, Tzvi Yehezkeli, yang menghasilkan laporan itu berkata sekurang-kurangnya enam warga Palestin diberkas oleh PA kerana ‘memperakui’ gerakan memperluaskan jajahan republik berkenaan di kawasan Tebing Barat.

“Saya terkejut kerana walaupun muka individu yang ditemubual itu dikaburkan dan suara mereka diubah suai, PA masih dapat mengesan dan memberkas kesemuanya.

“Sangat menakjubkan,” katanya.

Jurucakap Menteri Dalam Negeri Palestin, Ghassan Nimr, ketika dihubungi bagi mengulas perkara itu bagaimanapun menyangkal tuduhan sedemikian.

“Kami tidak menangkap sesiapa yang dikaitkan dengan kes ini,” katanya. 

Sumber: Berita Harian