2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
c21def38-5557-423c-8383-644f87776907.jpg
Info Semasa

Al-Quran lama dibaik pulih sempena Ramadan

TRIPOLI: Dengan ketibaan bulan suci Ramadan di Libya yang dibelenggu perang saudara, sekumpulan sukarelawan bekerja sepanjang masa untuk membaik pulih Al-Quran yang lapuk atau rosak.

Khaled al-Drebi, seorang pembaik pulih kitab suci Al-Quran yang terkemuka di Libya adalah antara mereka yang setiap hari pergi ke bengkel Tripoli untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat semasa bulan Ramadan ini.

Bagi umat Islam, Ramadan adalah bulan yang suci di mana setiap individu mendekatkan diri dengan Tuhan. Umat Islam yang berpuasa daripada terbit hingga terbenam matahari akan mengerjakan ibadah serta amal jariah, sekali gus menjadi sebab jumlah pelanggan yang ingin membeli Al-Quran semakin meningkat.

“Pembelian Al-Quran baru lazimnya akan meningkat menjelang bulan Ramadan. Namun baru-baru ini, keadaan sudah berubah di Libya,” Drebi memberitahu AFP.

Untuk ramai orang, tradisi itu sudah terjejas dengan kenaikan harga Al-Quran terutama sekali ‘sejak negeri ini memberhentikan pencetakan’ kitab suci itu di Libya, tambah beliau.

Negara Afrika Utara itu sudah dibelenggu konflik selama lebih sedekad.

Namun, kos bukanlah satu-satunya faktor. Kitab suci Al-Quran lama ada nilai sentimentalnya yang tersendiri.

“Ia ada hubungan rohani untuk sesetengah pelanggan,” kata Drebi.

Ramai pelanggan memilih untuk memelihara Al-Quran yang diturunkan daripada saudara-mara dan ada di antara mereka juga berkata Al-Quran terbabit ada bau datuk atau ibu bapa mereka, tambah beliau.

Di belakang bilik terbabit, Abdel Razzaq al-Aroussi sedang menyusun beribu-ribu al-Quran mengikut keadaan kitab itu.

“Pemulihan Al-Quran yang hanya rosak sedikit akan mengambil masa kurang satu jam tetapi untuk kitab dengan kerosakan yang lebih banyak akan mengambil masa dua jam atau lebih,” kata Aroussi.

Seorang penyelia di bengkel itu, Mabrouk al-Amin, berkata proses pemulihan ‘memerlukan sejumlah pekerja yang mahir’.

“Bekerja dengan kitab suci ini sangat seronok dan kami tidak akan bosan… ada keseronokan yang tidak ternilai dalam melakukan kerja ini, kata beliau.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita sudah mengambil tempat menjadi sukarelawan untuk membaik pulih kitab suci Al-Quran.

Salah seorang yang mahir, Khadija Mahmoud, juga sudah mengadakan sesi latihan untuk wanita yang cacat penglihatan.

Menurut beliau, kerja membaik pulih kitab suci itu sudah membuka laluan kepada ramai wanita untuk mengisi masa terluang dengan pekerjaan yang begitu bermakna.

Sumber: BH