96 TERKORBAN AKIBAT GEMPA DAN BANJIR, 70,000 HILANG TEMPAT TINGGAL
JAKARTA: Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, jumlah kematian akibat gempa bumi dan banjir besar di bahagian tengah Indonesia meningkat kepada 96 orang dengan 70,000 penduduknya terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Kira-kira 81 penduduk terkorban selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.2 skala Richter melanda wilayah Indonesia di Sulawesi Barat pada Khamis dan Jumaat lalu.
Ia turut memaksa kira-kira 28,000 penduduk berlindung di 25 pusat penempatan sementara di bandar Majumu dan daerah Majene, sementara hampir 40,000 penduduk di kawasan dilanda banjir dipindahkan ke wilayah Kalimantan Selatan.
Dalam pada itu, 15 lagi dilaporkan maut berikutan banjir di Kalimantan Selatan, kata jurucakap agensi itu, Raditya Jati.
Bilangan rumah yang rosak akibat gempa bumi turut meningkat kepada 1,150 unit dan lima buah sekolah turut dilaporkan musnah.
Beliau turut memaklumkan, penilaian risiko gempa di bandar dan wilayah itu masih giat dijalankan.
Sementara itu, pengurus operasi Hospital Besar Majumu Sulawesi Barat, Nurwardi, berkata jumlah pesakit yang dimasukkan ke pusat perubatan itu terus melonjak.
“Ini satu-satunya hospital yang ada di bandar ini.
“Ramai pesakit perlu dibedah tetapi kami mempunyai sumber dan ubat-ubatan yang terhad,” katanya.
Wilayah Kalimantan Selatan di Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat ekoran banjir yang memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah mereka untuk berteduh di tempat yang lebih selamat.
Serantau Muslim berharap semua mangsa banjir di sana berada dalam keadaan selamat dan menyeru semua pihak dapat membantu mereka yang sedang memerlukan di sana.
Sumber: Berita Harian