81 maut akibat taun di Syria dalam 3 bulan
DAMSYIK: Kematian akibat wabak taun dilaporkan semakin meningkat di Syria dengan 81 disahkan maut antara Ogos hingga Oktober lalu.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dipetik Arab News, wabak itu menjangkiti sudah 24,614 penduduk Syria sejak Oktober lalu dan daerah Raqqa serta Hasakah adalah yang paling terjejas.
Dalam pada itu, sebanyak 65 kes wabak taun turut dilaporkan di beberapa kem pelarian, sekali gus menjadikannya kebimbangan utama rakyat Syria selepas negara itu dilanda perang saudara, penularan COVID-19 dan kemarau yang teruk.
Sejumlah kawasan di Syria, terutamanya wilayah terpencil, berdepan krisis air bersih selepas infrastruktur pengairan dan pembetung musnah dalam perang saudara pada 2011.
WHO percaya bahawa orang ramai terdedah kepada taun selepas minum air di Sungai Euphrates yang semakin kering.
Musim kemarau yang kritikal disebabkan tindakan mengepam air bawah tanah yang berlebihan dan pembinaan empangan baru di hulu sungai Eufrat menyebabkan sungai kekeringan.
Selain itu, hampir separuh penduduk Syria bergantung pada sumber air alternatif yang kebiasaannya tidak selamat, dan sekurang-kurangnya 70 peratus air kumbahan tidak dirawat.
Sumber: BH