2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

2.2 juta kanak-kanak Kemboja terdedah kekerapan gelombang panas – UNICEF

PHNOM PENH: Kira-kira 2.2 juta kanak-kanak di Kemboja atau 37.1 peratus daripada jumlah populasi kanak-kanak di negara itu kini terdedah kepada kekerapan tinggi gelombang haba, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Kemboja adalah antara 23 negara yang termasuk dalam kategori tertinggi bagi pendedahan kanak-kanak kepada suhu tinggi melampau, Xinhua memetik UNICEF dalam laporan baharunya bertajuk “Tahun Paling Sejuk Sepanjang Kehidupan Mereka: Melindungi Kanak-Kanak daripada Kesan Peningkatan Gelombang Haba”.

Gelombang haba menjejaskan teruk kanak-kanak, kerana mereka kurang mampu mengawal suhu badan berbanding orang dewasa, menurut kenyataan itu yang menambah semakin mereka terdedah kepada gelombang haba, lebih besar kemungkinan ia akan menjejaskan kesihatan mereka termasuk pernafasan kronik, asma, dan penyakit jantung.

Pemangku wakil UNICEF-Kemboja Anirban Chatterjee berkata perubahan iklim mengancam nyawa dan kesejahteraan kanak-kanak Kemboja, dengan laporan ini menunjukkan bahawa pada masa hadapan Kemboja akan menjadi antara negara yang paling terjejas teruk di dunia.

“Oleh itu, kami bekerjasama erat dengan kerajaan Kemboja untuk menangani cabaran perubahan iklim dan melindungi alam sekitar,” katanya.

Chatterjee berkata UNICEF juga bekerjasama dengan kementerian pendidikan, belia dan sukan untuk memastikan kanak-kanak belajar tentang perubahan iklim dan cara bagaimana mereka boleh mengambil tindakan positif untuk melindungi komuniti daripada kesan perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar.

Sumber: BH