2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

700,000 MELARIKAN DIRI BERIKUTAN PERTEMPURAN TENTERA SYRIA, TURKI

QAMINAS, 11 Feb – Syria dan Turki berbalas tembakan, semalam dalam satu lagi pertempuran di barat laut Syria, yang menyaksikan hampir 700,000 orang melarikan diri berikutan meningkatnya keganasan di kawasan terbabit.

Turki yang menyokong puak pemberontak Syria, berkata lima tenteranya dibunuh oleh tentera Syria di wilayah Idlib sebagai tindak balas seramai 101 tentera Syria yang berjaya dibunuh.

Namun, tiada pengesahan tuntutan mengenai perkara ini oleh media Syria mahu pun Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berhubung kecederaan anggota tentera Syria.

“Tindak balas Turki itu adalah serangan kedua dalam tempoh lapan hari di kawasan Taftanaz, yang mana negara itu, baru-baru ini menghantar pasukan tentera ke sana,” menurut pasukan pemerhati yang berpangkalan di Britain.

Rejim tentera Syria melakukan serangan seminggu lalu berjaya menewaskan lapan askar Turki, menyebabkan tindak balas dilakukan tentera Turki.

Pertempuran itu menegangkan hubungan antara Damsyik dan Ankara, malah meningkatkan ketegangan antara Rusia dan Turki – tokoh utama konflik asing yang sedang berlaku ketika ini.

Tentera Syria yang disokong oleh Moscow melakukan beberapa serangan yang menyasarkan kedudukan benteng pemberontak di barat laut Syria lebih dari dua bulan.

“Keganasan di wilayah Idlib dan Aleppo menyebabkan 689,000 melarikan diri. Jumlah yang terkorban dalam krisis ini, semakin meningkat,” katanya jurucakap agensi penyelarasan kemanusiaan PBB (OCHA), David Swanson.

Kementerian Pertahanan Turki, berkata tentera yang disasarkan dalam pertempuran pada Isnin itu, dihantar sebagai “penguatkuasaan untuk mencegah pertempuran lebih buruk di Idlib, selain memastikan keselamatan sempadan negara terjamin serta menghentikan penghijrahan dan tragedi lebih banyak nyawa manusia.”

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa Ankara akan bertindak balas dengan “cara paling kuat” jika ada sebarang serangan baru.

Menurut media Turki, rentetan ketegangan yang semakin memuncak itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengadakan pertemuan di Ankara dengan menteri, ketua staf tentera dan ketua perisikan pada Isnin untuk meninjau keadaan di Idlib.

Sejak Jumaat lalu , konvoi besar kenderaan yang membawa komando, kereta kebal dan kepingan artileri howitzer digerakkan ke 12 pos tentera Turki di Idlib yang dibina oleh Ankara di bawah perjanjian 2018 dengan Russia untuk menghalang serangan rejim Syria .

Namun, perjanjian itu gagal untuk menghentikan serangan Syria yang mana Turki menyatakan pasukan rejim telah mengelilingi tiga buah posnya.

Penasihat akhbar Erdogan, Fahrettin Altun menulis di Twitter bahawa “Turki membalas serangan itu untuk memusnahkan semua sasaran musuh dan (membalas dendam) untuk tentera kita yang gugur.”

Erdogan memberikan amaran kepada Damsyik sehingga akhir bulan ini untuk berundur dari posnya, dan mendesak Russia untuk meyakinkan rejim itu untuk menghentikan serangan itu.

Delegasi Russia sudah berada di Ankara untuk mengadakan perbincangan mengenai Idlib sejak Sabtu, dengan pertemuan lanjut dijangka pada Isnin.

Kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam usaha mengekang keganasan di wilayah berkenaan.

Sumber: Berita Harian