Info SemasaKenyataan Media

50 JUTA PENDUDUK TERBUANG DI NEGARA SENDIRI – BADAN PEMANTAU

GENEVA – Agensi pemantau melaporkan, konflik dan bencana memaksa lebih 33 juta orang melarikan diri di negara sendiri tahun lalu, menjadikan mereka golongan berisiko besar di saat penularan wabak COVID-19 seluruh dunia.

Menurut laporan Pusat Pemantauan Pemindahan Dalaman (IDMC) dan Majlis Pelarian Norway (NRC), data terbaru itu menjadikan jumlah penduduk dunia yang tinggal di penempatan melalui pemindahan besar-besaran dalam negara mencapai 50.8 juta orang.

Jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam negara (IDP) jauh lebih tinggi daripada jumlah orang yang melarikan diri dan melintas sempadan antara negara atau pelarian, iaitu seramai 26 juta orang.

Pengarah IDMC, Alexandra Bilak, dalam satu kenyataan berkata, IDP kebiasaannya golongan paling terdedah dan tinggal di penempatan yang sesak, tempat perlindungan kecemasan dan penempatan tidak rasmi dengan sedikit atau tiada langsung akses kepada penjagaan kesihatan.

Bilak berkata, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia akan membuatkan golongan ini akan lebih terdedah.

“Ia akan memburukkan lagi keadaan hidup mereka yang sudah tidak menentu dengan mengehadkan akses kepada perkhidmatan penting dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Laporan badan pemantau itu mendapati bahawa konflik memaksa 8.5 juta IDP melarikan diri tahun lalu di negara Syria, Republik Demokratik Congo, Ethiopia dan Sudan Selatan.

Ditambah dengan mereka yang sudah lama kehilangan tempat tinggal, menjadikan lebih 45 juta orang terpaksa berpindah dalam negara disebabkan oleh konflik termasuk hampir 6.5 juta di Syria, yang dilanda perang saudara selama sembilan tahun.

Seramai 5.1 juta orang lagi hidup terpaksa berpindah dan tinggal terbuang di penempatan dalam negara disebabkan bencana alam pada akhir tahun 2019, di mana hampir 25 juta orang meninggalkan rumah disebabkan bencana itu sepanjang tahun.

Setiausaha Agung NRC, Jan Egeland, dalam satu kenyataan, berkata konflik dan keganasan menyebabkan berjuta-juta orang melarikan diri dari rumah setiap tahun.

“Secara kolektif, kita gagal untuk melindungi yang paling terdedah dan lemah di seluruh dunia,” katanya.

Egeland sehubungan itu menyeru supaya tindakan bersama dilaksanakan dalam menangani permasalahan IDP dengan menegaskan bahawa kekerasan politik di tengah penularan pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak masuk akal sama sekali.

Sumber: Berita Harian