2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2022-12-02 at 3.52.16 PM
Info Semasa

460,000 penduduk Kemboja di bawah garis kemiskinan – Bank Dunia

PHNOM PENH: Laporan Bank Dunia mendedahkan kira-kira 460,000 penduduk di Kemboja berada di bawah garis pendapatan kemiskinan sejak penularan COVID-19 pada 2020.

Ia terkandung dalam ‘Laporan Penilaian Kemiskinan Kemboja, Ke Arah Kemboja Yang Lebih Inklusif dan Berdaya Tahan’.

Laporan itu menunjukkan kadar kemiskinan negara berkurangan daripada 33.8 peratus kepada 17.8 peratus dalam tempoh 10 tahun antara 2009 hingga 2019, dengan hampir dua juta penduduk keluar daripada kepompong kemiskinan dalam tempoh itu.

“Namun sejak 2020, kadar kemiskinan itu meningkat sebanyak 2.8 mata peratus, menunjukkan kira-kira 460,000 penduduk berada di bawah garis pendapatan kemiskinan,” menurut laporan itu.

Pengurus negara Bank Dunia untuk Kemboja, Maryam Salim, berkata meskipun negara itu berjaya mencatat kejayaan memberangsangkan dalam mengurangkan kemiskinan antara 2009 hingga 2019, masih ramai isi rumah yang berisiko, dengan simpanan atau jaringan keselamatan sosial yang sedikit.

“Ini bermakna COVID-19 menjejaskan kemajuan negara itu dalam mengatasi kemiskinan berikutan pengambilan pekerja dan gaji menurun,” katanya semalam.

Laporan itu menyarankan supaya Kemboja melaksanakan pelbagai tindakan dasar bagi menyokong pemulihan yang inklusif dan berdaya tahan menghadapi pandemik dan kejutan ekonomi akibat COVID-19.

Antara langkah yang disarankan termasuklah pemberian bantuan tunai bersasar, mengambil tindakan memperkukuh perlindungan sosial dan membuat pelaburan dalam sektor kesihatan serta pendidikan.

Sumber: BH