40 MAUT, 260 CEDERA PERTEMPURAN DI YAMAN
DUBAI, 12 Ogos – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan satu pertempuran antara angkatan pro kerajaan dan pemisah di Yaman sehingga mengorbankan kira-kira 40 orang dan mencederakan 260 mangsa lain termasuk penduduk awam.
“Ramai penduduk awam sama ada terbunuh atau cedera, sejak 8 Ogos lalu, ketika pertempuran tercetus di bandar Aden. Laporan awal menunjukkan sehingga 40 orang terbunuh dan 260 lagi cedera,” menurut kenyataan PBB.
“Adalah sesuatu yang menyedihkan ketika Aidiladha, banyak keluarga meratapi kematian orang tersayang berbanding menyambut perayaan bersama-sama dalam keadaan aman.
“Kebimbangan utama kami, buat masa ini, adalah penghantaran pasukan perubatan bagi menyelamatkan mangsa cedera. Kami juga bimbang dengan laporan penduduk awam terperangkap di rumah.
“Mereka terputus bekalan makanan dan air. Keluarga perlu bergerak bebas dengan selamat untuk mendapatkan keperluan kelangsungan hidup.
“Kami meminta pihak berkuasa memberikan jaminan akses tanpa gangguan terhadap pertubuhan kemanusiaan,” kata penyelaras kemanusiaan PBB di Yaman, Lise Grande.
Rabu lalu, pertempuran tercetus antara pejuang kerajaan yang disokong Arab Saudi dan militan yang dilatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan matlamat mahukan kemerdekaan selatan Yaman.
Sumber: Berita Harian